SATU HERBA YANG BIASA DIGUNAKAN UNTUK MERAWAT PEMBESARAN KELENJAR PROSTAT TAHAP RINGAN HINGGA SEDERHANA KINI MENJADI PERHATIAN APABILA SATU KAJIAN BARU-BARU INI MELAPORKAN BAHAWA KEBERKESANANNYA TIDAK MELEBIHI PLASEBO. BETULKAH BEGITU?
Keputusan terbaharu daripada satu ujian klinikal mengenai herba popular saw palmetto mungkin mengelirukan orang ramai, khususnya lelaki yang mengalami masalah prostat, menurut American Botanical Council (ABC), sebuah organisasi bukan keuntungan yang menjalankan penyelidikan dan pendidikan mengenai herba.
Ujian klinikal yang diterbitkan dalam edisi Februari 2006 New England Journal of Medicine (NEJM) melaporkan bahawa tiada perbezaan ketara antara pengambilan pil saw palmetto dan plasebo dalam kalangan lelaki yang mengalami masalah prostat tahap sederhana hingga lanjut.
RINGAN HINGGA SEDERHANA

Saw palmetto adalah suplemen herba yang diketahui selamat dan berkesan untuk merawat gejala BPH (benign prostatic hyperplasia) yang ringan hingga sederhana. BPH ialah pembesaran prostat yang tidak berkanser dan sering berlaku pada lelaki berusia lebih 50 tahun, dengan hampir 75% terjejas.
Gejala BPH termasuk aliran kencing yang perlahan, sukar memulakan kencing, perlu meneran, kencing menitis selepas selesai, dan rasa seperti pundi kencing tidak kosong sepenuhnya. Gejala lain ialah rasa mendesak untuk kencing, kerap kencing, kerap bangun malam untuk kencing dan ketidakupayaan menahan kencing.
“Kebimbangan utama kami terhadap ujian ini ialah keadaan masalah prostat yang sudah agak lanjut dalam kalangan ramai lelaki yang diuji,” kata Mark Blumenthal, Pengasas dan Pengarah Eksekutif ABC.
Blumenthal menegaskan bahawa lelaki dalam ujian ini mengalami simptom BPH tahap sederhana hingga teruk, sedangkan kebanyakan ujian terkawal sebelum ini yang menunjukkan keputusan positif dan keberkesanan saw palmetto dijalankan ke atas lelaki dengan simptom BPH yang ringan hingga sederhana. Dalam kajian ini, para peserta mendapat skor 8–35 menurut American Urological Association Symptom Inventory (AUASI), iaitu kategori sederhana hingga teruk.
“Kebanyakan monograf rasmi antarabangsa yang mengiktiraf manfaat saw palmetto berbuat demikian untuk peringkat 1 dan 2 BPH, iaitu tahap simptom BPH ringan hingga sederhana,” kata Blumenthal. “Ini termasuk monograf dari kerajaan Jerman dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia.”
“Keputusan kajian ini harus difahami bersama bukti sedia ada yang kukuh, termasuk sekurang-kurangnya 21 kajian terkawal yang menunjukkan hasil positif bagi produk saw palmetto,” jelas beliau.
Ekstrak Saw Palmetto digunakan secara meluas di Eropah, dan dalam dekad yang lalu, di Amerika Syarikat sebagai terapi semula jadi untuk membantu mengekalkan fungsi prostat dan sistem kencing yang normal, terutamanya dengan merawat simptom BPH dalam kalangan lelaki dengan kes BPH ringan hingga sederhana.
Lebih 22 ujian klinikal yang dijalankan ke atas lebih 3,000 lelaki, seperti yang dikaji semula oleh Cochrane Collaboration, telah mengesahkan keselamatan dan keberkesanan penyediaan ekstrak standard Saw Palmetto dalam merawat simptom BPH tahap ringan hingga sederhana.
Meta-analisis terbaru menunjukkan bahawa kajian klinikal menyokong penggunaan 160 mg Saw Palmetto dua kali sehari, distandardkan untuk mengandungi 85–95% ekstrak asid lemak, bagi simptom BPH ringan hingga sederhana. Ekstrak standard Saw Palmetto telah menunjukkan keberkesanan dan tahap keselamatan yang lebih tinggi berbanding ubat farmaseutikal konvensional.
Saw palmetto sering digabungkan dengan herba lain yang terbukti bermanfaat untuk fungsi prostat bagi menghasilkan penyediaan yang selamat dan berkesan, yang telah didokumentasikan secara klinikal, termasuk stinging nettle, pygeum, biji labu, dan ekstrak tomato.
STINGING NETTLE
Ekstrak akar stinging nettle kaya dengan lignan, yang membolehkannya mengikat globulin pengikat hormon seks (SHBG), penting untuk masalah prostat. Apabila lelaki menua, tahap SHBG mereka meningkat, menjadikan mereka lebih mudah terdedah kepada proliferasi sel yang abnormal. Stinging nettle boleh mengikat SHBG dengan kuat, seterusnya mengurangkan jumlah testosteron dan estrogen yang mempengaruhi pertumbuhan sel.
Kajian menunjukkan bahawa ia dapat mengurangkan risiko proliferasi sel prostat yang abnormal, mengurangkan kekerapan kencing pada waktu malam, meningkatkan kadar aliran kencing, dan mengurangkan baki air kencing. Stinging nettle juga menyokong keseimbangan hormon dan meningkatkan kualiti hidup pesakit BPH.
PYGEUM AFRICANUM
Ekstrak pygeum mengandungi fitosterol yang boleh menghalang sintesis prostaglandin, sekaligus mengurangkan tahap prostaglandin yang biasanya tinggi dalam BPH. Ester asid ferulik yang terdapat dalam pygeum menurunkan tahap kolesterol prostat dengan mengehadkan sintesis testosteron. Ekstrak ini mempunyai kesan anti-radang dan dengan itu mengurangkan keradangan pada tisu prostat. Kesan klinikal ekstrak pygeum termasuk pengurangan saiz prostat, pengurangan kekerapan kencing pada waktu malam, pengurangan baki air kencing, dan pengurangan rasa mendesak untuk kencing. Secara keseluruhan, ia juga membantu meningkatkan kualiti hidup lelaki yang menghidap BPH.
BIJI LABU
Ekstrak biji labu kaya dengan fitosterol, curcubitin, dan selenium. Ia menghalang enzim 5-alpha-reductase, yang mencegah testosteron bertukar menjadi dihidroksitestosteron. Ia juga mempunyai kesan menghalang aromatase, seterusnya mengelakkan androgen seperti testosteron daripada bertukar menjadi estrogen.
Kajian klinikal menunjukkan bahawa ekstrak ini dapat memberikan pengurangan ketara dalam kekerapan kencing pada waktu siang dan malam. Kadar aliran kencing juga meningkat manakala baki air kencing berkurang.
EKSTRAK TOMATO (DISTANDARDKAN UNTUK MENGANDUNGI 5% LIKOPEN
Likopen ialah sebatian fitokimia yang memberikan warna merah terang pada tomato. Individu yang mempunyai diet kaya dengan tomato, yang mengandungi likopen, dilaporkan mempunyai risiko lebih rendah terhadap beberapa jenis kanser, terutamanya kanser prostat, paru-paru, dan perut.
Kesemua bahan herba di atas untuk kesihatan prostat boleh dibeli secara berasingan atau digabungkan dalam satu suplemen. Memandangkan kebanyakan kajian terkini mengenai saw palmetto untuk lelaki dengan BPH menggunakan ekstrak Saw Palmetto yang distandardkan, adalah lebih baik memilih penyediaan yang mengandungi sekurang-kurangnya 160 mg ekstarak Saw Palmetto distandardkan dengan 85–95% asid lemak.
