Minyak Ikan Boleh Meningkatkan Kesihatan Jantung Anda dengan Ketara

Penyakit jantung dan strok merupakan punca kematian nombor satu di Malaysia (dan juga di seluruh dunia).

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), penyakit kardiovaskular (CVD) merupakan punca utama kematian di seluruh dunia, dengan dianggarkan 19.8 juta kematian pada tahun 2022, mewakili kira-kira 32% daripada semua kematian. Kebanyakan kematian ini disebabkan oleh serangan jantung dan strok, yang bersama-sama menyumbang kira-kira 85% daripada kematian akibat CVD.

Sering kali, penyakit jantung berpunca daripada pilihan gaya hidup yang tidak sihat, seperti pemakanan yang tidak seimbang, merokok, pengambilan alkohol berlebihan dan tahap tekanan yang tinggi.

Sungguhpun faktor genetik menyumbang kepada perkembangan penyakit jantung, pengaruhnya jauh lebih kecil berbanding pilihan gaya hidup — sesuatu yang berada dalam kawalan anda.

Kita boleh bermula dengan mengamalkan pemakanan sihat, bersenam secara rutin dan menguruskan tahap tekanan, di samping mempertimbangkan pengambilan suplemen diet.

Salah satu suplemen tersebut ialah minyak ikan, yang boleh memberi manfaat kepada kesihatan jantung anda (sama ada dengan atau tanpa masalah jantung sedia ada).

Tidak semua lemak dicipta sama 

Ramai masih percaya bahawa semua jenis lemak adalah tidak baik. Beberapa tahun kebelakangan ini, pakar telah mengubah pandangan daripada “semua lemak adalah tidak baik” kepada pemahaman yang lebih tepat iaitu “sesetengah lemak sebenarnya baik”.

Kini kita tahu bahawa lemak baik adalah penting untuk  kehidupan, dan sesetengah lemak diet, seperti asid lemak omega-3, sememangnya kritikal untuk memastikan kita berada dalam keadaan kesihatan yang optimum.

Setiap sel dalam tubuh memerlukan omega-3 untuk kekal sihat. Sel bergantung pada nutrien ini untuk membantu membina membran sel dan memastikan penghantaran serta komunikasi antara sel berlaku dengan cekap, sekali gus menyokong kawal selia ribuan fungsi tubuh.

Omega-3 tergolong dalam kumpulan asid lemak perlu. “Perlu” bermaksud badan memerlukannya tetapi tidak dapat menghasilkannya sendiri. Oleh itu, ia mesti diperoleh melalui diet.

Salah satu sumber omega-3 yang paling dikenali ialah ikan berlemak seperti salmon, tuna serta bilis dan sardin air sejuk laut dalam yang diperoleh dari Lautan Pasifik Selatan.

Terdapat ribuan kajian saintifik yang menunjukkan manfaat omega-3, khususnya EPA (asid eikosapentaenoik) dan DHA (asid dokosaheksaenoik), terhadap kesihatan manusia.

Banyak kajian menunjukkan bahawa pengambilan EPA dan DHA memberi manfaat kepada jantung dengan menurunkan tekanan darah dan trigliserida, selain mengurangkan risiko kematian berkaitan jantung.

EPA ialah asid lemak omega-3 berantai panjang yang bertanggungjawab terhadap fungsi sistem keradangan yang normal. Sistem ini bergantung pada “molekul isyarat” yang dipanggil prostaglandin, dan banyak prostaglandin ini terbentuk secara langsung daripada EPA.

Sama pentingnya, kebanyakan prostaglandin yang terbentuk daripada EPA cenderung memberikankesan anti-radang. Oleh itu, pengambilan makanan yang kaya dengan EPA dapat mengurangkan risiko keradangan berlebihan dan penyakit berkaitan keradangan.

Pengambilan omega-3 dikaitkan dengan pengurangan risiko sehingga 50% bagi serangan jantung primer, dan kajian menunjukkan bahawa pengambilan EPA dapat mengurangkan risiko kejadian koronari utama sebanyak 19% dalam individu dengan sejarah penyakit kardiovaskular.

DHA ialah asid lemak omega-3 politaktepu yang terdapat di seluruh tubuh. Ia merupakan komponen struktur utama dalam otak dan retina.

DHA diperlukan untuk mengekalkan integriti sel retina dan telah terbukti menyokong perkembangan serta pembaikan retina dalam kajian. Ia juga merupakan komponen penting dalam struktur jantung. Kajian menunjukkan bahawa DHA berperanan dalam mengekalkan paras trigliserida, kadar denyutan jantung dan tekanan darah yang normal.

Salah satu kajian berskala besar terawal mengenai pengambilan EPA dan DHA ialah kajian GISSI Prevenzione. Kajian ini diterbitkan dalam edisi Ogos 1999 jurnal The Lancet.

Kajian ini menilai 11,324 pesakit yang mengambil 1 gram EPA dan DHA setiap hari.

Hasil kajian menunjukkan penurunan risiko kematian kardiovaskular dan kematian keseluruhan dalam kalangan individu yang mengalami serangan jantung baru-baru ini sepanjang tempoh rawatan selama 3.5 tahun.

Manfaat lain terhadap kesihatan jantung termasuk:

  • Meningkatkan paras kolesterol – Paras plasma omega-3 yang lebih tinggi dikaitkan dengan paras lipoprotein ketumpatan tinggi (HDL) yang lebih tinggi. Suplementasi omega-3 terbukti mengurangkan nisbah trigliserida kepada HDL, iaitu perubahan yang bermanfaat.
  • Menurunkan tekanan darah – Kajian mengesahkan bahawa omega-3 boleh membantu menurunkan tekanan darah dan/atau mengelakkan peningkatan tekanan darah. Ini mengurangkan risiko serangan jantung atau strok.
  • Mengurangkan risiko arteriosklerosis – Banyak kajian menunjukkan bahawa EPA dan DHA daripada minyak ikan mampu menghalang perkembangan aterosklerosis, iaitu keadaan di mana bahan seperti plak terbentuk pada dinding salur darah.

Cuba masukkan beberapa hidangan ikan berlemak seperti sardin, bilis, salmon liar atau tuna dalam menu mingguan anda, dan tambah suplemen omega-3 berkualiti tinggi.

Suplemen omega-3 yang berkualiti tinggi akan menyatakan jumlah EPA dan DHA pada label, dan sebaiknya mengandungi sekurang-kurangnya 600mg EPA dan DHA.

Ketulenan produk juga penting. Pilih minyak ikan yang melalui proses penyulingan molekul, kerana proses ini dapat mengurangkan pelbagai jenis bahan cemar seperti logam berat.